KUALA LUMPUR – Tuntutan etnik Rohingya agar mereka diberi penempatan tetap adalah tindakan tidak wajar kerana keputusan tersebut menyentuh isu kedaulatan negara.
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, jika benar wujud tuntutan sedemikian meskipun atas dasar kemanusiaan, ia tidak seharusnya dibenarkan.
Beliau menegaskan, dari sudut kedaulatan negara, tiada mana-mana kumpulan pelarian mempunyai hak untuk menuntut penempatan tetap atau kewarganegaraan di sesebuah negara.
Ujarnya, mereka boleh memohon perlindungan dan bantuan, tetapi keputusan sama ada memberikan status kekal atau tidak, merupakan satu keputusan besar.
Tegas beliau, kerajaan Malaysia perlu mengambil kira kegusaran atau kebimbangan rakyat Malaysia secara menyeluruh.
“Itu adalah hak eksklusif sesebuah kerajaan untuk memutuskan berdasarkan undang-undang, kapasiti ekonomi, keselamatan dan kepentingan rakyat tempatan.
“Selama ini Malaysia menunjukkan sikap yang agak terbuka berbanding banyak negara lain dengan menerima kehadiran pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan.
“Tetapi bantuan kemanusiaan tidak semestinya bermaksud, hak kewarganegaraan atau hak untuk menuntut mana-mana penempatan khusus untuk pelarian ini,” ujarnya dalam laman Facebook.

Sementara itu, petisyen dalam talian bertajuk `Remove Rohingya from Malaysia’ di platform Change.org telah meraih lebih 280,000 tandatangan.
Kempen ini mendesak kerajaan merangka pelan menyeluruh bagi menghantar pulang pelarian etnik Rohingya ke negara asal atau menempatkan semula mereka ke negara ketiga akibat tekanan isu sosial dan lambakan pendatang.
Nuruhidayah menyatakan demikian atas pandangan peribadinya berdasarkan dua lensa yang berbeza. Pertama, lensa kemanusiaan dan kedua, lensa kedaulatan negara.
Jelas beliau, dari sudut kemanusiaan, tidak dapat dinafikan bahawa ramai etnik Rohingya menjadi mangsa penindasan, peperangan dan kehilangan kewarganegaraan di Myanmar.
Ujarnya, sebagai manusia dan sebagai umat Islam, rasa simpati terhadap penderitaan mereka adalah sesuatu yang wajar.
Menurut beliau, mereka berhak mendapat perlindungan asas, bantuan makanan, kesihatan dan keselamatan daripada ancaman nyawa.
Namun katanya, perlu difikirkan juga bahawa rata-rata rakyat Malaysia mempunyai kebimbangan mengenai tekanan terhadap kemudahan awam, persaingan pekerjaan berpendapatan rendah, isu keselamatan dan jenayah yang melibatkan kumpulan tertentu, serta beban sosial yang perlu ditanggung kerajaan.
“Bersimpati kepada penderitaan Rohingya adalah sifat kemanusiaan yang wajar. Namun mempertahankan hak Malaysia dan menentukan siapa yang boleh menetap secara kekal di negara ini adalah satu isu kedaulatan negara yang penting,” ujarnya.
Nurulhidayah turut mengingatkan bahawa penulisan beliau bukan untuk menimbulkan sentimen kebencian kerana sebagai rakyat Malaysia, beliau berhak meminta kepastian sejauh mana kemampuan negara menanggung implikasi jangka panjang terhadap sesuatu dasar penempatan pelarian, wajar difikirkan.
“Politik, politik juga. Jangan sampai kita dijajah lagi secara halus atas sentimen agama dan kemanusiaan. Buat baik berpada-pada,” ujarnya. – MalaysiaGazette















