Albert Tei Jiann Cheing.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing mempersoalkan tempoh yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meneliti sesuatu kes secara menyeluruh serta menggesa tindakan segera diambil terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki jika terdapat asas untuk pendakwaan.

Menurut beliau, orang ramai kini sedang menantikan perkembangan lanjut berhubung perkara itu dan mahu melihat proses perundangan dijalankan secara telus serta tanpa sebarang kelewatan.

“Saya ingin menasihatkan Peguam Negara bahawa orang ramai sedang melihat perkara ini. Kita sedang menunggu dan tidak sabar untuk melihat Azam Baki dibawa ke muka pengadilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan berkaitan penelitian AGC terhadap isu yang melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

Kelmarin, media melaporkan, AGC sedang meneliti dua kertas siasatan membabitkan Azam yang diterima daripada polis pada Khamis lepas.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat memandangkan AGC memerlukan sedikit masa bagi meneliti dokumen berkenaan.

“Kedua-dua kertas siasatan terbabit kita terima pada Khamis lepas dan AGC masih lagi meneliti kertas-kertas siasatan tersebut. Belum ada apa-apa keputusan dibuat setakat ini mengenainya.

“Sedikit masa diperlukan untuk penelitian dibuat bagi apa jua penentuan mengenai kedudukan siasatan berkenaan. Once (sebaik sahaja) penelitian selesai dijalankan oleh AGC, apa-apa jua keputusan akan diambil kelak. Let us study the matter thoroughly (Biarkan kami teliti perkara ini dengan mendalam),” katanya seperti dilaporkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast