Foto tular memaparkan lokasi dua budak jatuh dari bangunan di sebuah pangsapuri di Tampoi, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti punca dua beradik bertindak terjun atau terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi di sini semalam yang mengakibatkan maut dan seorang lagi parah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang wanita tempatan pada pukul 8.27 pagi semalam.

“Wanita berkenaan memaklumkan kejadian dua kanak-kanak berusia lapan dan 10 tahun terjatuh daripada 12 di sebuah pangsapuri di kawasan Tampoi.

“Seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa cedera parah dan sedang dirawat di hospital,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat pukul 12 tengah hari semalam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menahan seorang suspek iaitu seorang wanita warga asing berusia 37 tahun.

“Wanita itu merupakan ibu kepada mangsa ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Semakan rekod jenayah lampau ke atas suspek mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.

Suspek katanya, dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Beliau berkata, sehingga kini, beberapa orang saksi yang berada di tempat kejadian dan melihat kedua-dua mangsa terjun atau terjatuh dari tingkat 12 bangunan pangsapuri terbabit turut dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan bawah peruntukan undang-undang termasuk mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pendedahan kanak-kanak pembuangan.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

“Punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan pihak polis percaya dengan tangkapan ke atas ibu mangsa ini akan merungkai punca sebenar kenapa kedua-dua mangsa mengambil tindakan yang tidak wajar untuk terjun atau terjatuh dari bangunan pangsapuri itu,” katanya.

Pihaknya menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak polis untuk membuat siasatan secara menyeluruh dan tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi yang tidak benar hingga boleh mengganggu proses siasatan.

Pada masa yang sama, pihak polis juga turut mengalu-alukan orang ramai untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat

berhubung insiden itu ke balai polis berhampiran dan talian hotline polis Johor 019-2792095 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor 07-2212999.

Terdahulu, portal ini melaporkan dua kanak-kanak terjatuh dari tingkat 12 ke tingkat tujuh iaitu berhampiran kolam renang di bangunan 24 tingkat itu.

Kejadian mengakibatkan seorang kanak-kanak maut manakala seorang kanak-kanak lagi masih menerima rawatan di hospital.

Ketika kejadian, beberapa penduduk di pangsapuri berkenaan menyaksikan kejadian.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast