Albert Tei.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei bertegas untuk membongkar skandal rasuah yang dikaitkan dengan beberapa ahli politik di Sabah menerusi saman yang difailkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli perniagaan berusia 38 tahun itu menegaskan, beliau bukan sahaja akan mempertahankan diri di mahkamah malah akan ‘menelanjangkan’ setiap isu yang dibangkitkan dalam kes saman yang difailkan terhadapnya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Azam menyegerakan penghantaran writ saman yang sehingga kini masih belum diterimanya meskipun isu saman telah dilaporkan media sejak minggu lalu.

“Saya mengalu-alukan saman itu dan tidak sabar menunggunya kerana dimaklumkan tindakan saman akan dibuat pada Rabu lalu.

“Jangan pula nanti kata salah alamat atau hilang dalam proses penghantaran. Jadi, di mana saman itu? Saya masih menunggu,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini selepas prosiding sebutan kes rasuah dihadapinya.

Sementara itu, firma guaman Zain Megat & Murad yang mewakili Azam dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, writ saman fitnah dan penyata tuntutan terhadap Albert telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

Menurut kenyataan itu, Albert disaman kerana dakwaan memfitnah berhubung berhubung kenyataan yang diterbitkan di media sosial dan platform dalam talian.

Saman itu berkaitan penerbitan dan penerbitan semula kenyataan mengenai Azam menerusi sebuah podcast, YouTube Shorts dan penerbitan dalam talian lain.

Pada sidang media itu, Albert turut mempersoalkan tindakan sekatan terhadap akaun media sosial miliknya sehingga beliau terpanggil untuk hadir ke pejabat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Jumaat lalu.

Menurutnya, video yang dimuat naik di Facebook yang memperoleh kira-kira 500,000 tontonan telah diturunkan, sementara akaun TikTok keduanya pula disekat.

“Saya mahu tahu apa kesalahan yang telah dilakukan, sehingga akaun media sosial saya disekat tanpa notis atau amaran.

“Adakah saya telah membuat kenyataan berunsur fitnah atau hasutan, jika benar, sila siasat, tangkap dan dakwa saya di mahkamah, biar mahkamah tentukan saya bersalah atau tidak,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast