JOHOR BAHRU – Budak lelaki berusia 10 tahun yang masih hidup selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi, di sini kelmarin menjalani pembedahan hari ini.
Mangsa dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Bapa mangsa ketika dihubungi memberitahu dia masih sibuk mengurus anaknya yang kini dirawat di HSA.
“Saya mahu menghantar anak ke bilik pembedahan,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita.
Terdahulu, portal ini melaporkan dua kanak-kanak terjun atau terjatuh dari tingkat 12 ke tingkat tujuh iaitu berhampiran kolam renang di bangunan 24 tingkat itu.
Kejadian mengakibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut manakala adiknya masih menerima rawatan di hospital tersebut.
Ketika kejadian, beberapa penduduk di pangsapuri berkenaan menyaksikan kejadian.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang wanita tempatan pada pukul 8.27 pagi kelmarin.
Katanya, wanita berkenaan memaklumkan kejadian dua kanak-kanak terjatuh dari tingkat 12 di sebuah pangsapuri di kawasan Tampoi.
“Seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa cedera parah dan sedang dirawat di hospital,” katanya.- MalaysiaGazette
















