Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu melaksanakan enam langkah utama sebelum tahun 2030 bagi memastikan teknologi pemanduan autonomi dapat diperkenalkan secara selamat dan berkesan termasuk meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Aktivis Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Lestari, Shahrim Tamrin menegaskan, perkara lain yang perlu dilakukan ialah mewajibkan penggunaan Data Storage System for Automated Driving (DSSAD), menyertai Regulasi UNECE No.157, memperkemas kerangka liabiliti, menambah baik sistem insurans motor serta memperkukuh keupayaan agensi berkaitan dalam menyiasat kemalangan melibatkan kenderaan autonomi.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan negara mempunyai asas perundangan dan institusi yang kukuh sebelum teknologi berkenaan digunakan secara meluas.

“Kementerian Pengangkutan juga disaran menubuhkan Kumpulan Kerja Pemanduan Autonomi Kebangsaan yang menghimpunkan pakar automotif, penyelidik keselamatan jalan raya, pengamal undang-undang, saintis komputer, syarikat insurans, pengeluar kenderaan serta wakil masyarakat.

“Kumpulan kerja itu perlu berperanan merangka dasar komprehensif berkaitan pemanduan autonomi sebelum sebarang pindaan undang-undang dibentangkan di Parlimen.

“Sasaran 2030 adalah permulaan, bukan garisan penamat. Laluan perjalanan mesti dibina sebelum mesin-mesin itu tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrim yang juga bekas Ahli Lembaga Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkata, lebih 6,000 rakyat Malaysia maut di jalan raya setiap tahun dan teknologi pemanduan autonomi mempunyai potensi besar untuk mengurangkan angka tersebut secara signifikan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pelaksanaan teknologi itu tanpa persediaan undang-undang yang mencukupi boleh menimbulkan kekeliruan berkaitan liabiliti sekiranya berlaku kemalangan.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja berisiko menjejaskan keadilan kepada mangsa, malah boleh menggugat keyakinan awam terhadap agenda transformasi mobiliti negara pada masa hadapan.

“Pembangunan teknologi mesti bergerak seiring dengan kesiapsiagaan undang-undang dan institusi agar manfaatnya dapat dinikmati tanpa mengorbankan aspek keselamatan serta keadilan,” katanya.

Terdahulu, Shahrim berkata, Malaysia berisiko berdepan kekosongan perundangan yang serius apabila kerajaan menyasarkan pelaksanaan Pemanduan Autonomi Tahap 3 menjelang 2030, sedangkan undang-undang sedia ada masih tidak menetapkan pihak yang bertanggungjawab sekiranya kenderaan dipandu sistem autonomi terlibat dalam kemalangan maut.

Katanya, teknologi pemanduan autonomi kini berkembang pesat dan sasaran kerajaan untuk memperkenalkan Pemanduan Autonomi Tahap 3 menjelang 2030 adalah langkah yang wajar, namun, aspek perundangan tidak boleh terus ketinggalan.

“Teknologinya sudah sedia. Para jurutera telah melakukan tugas mereka. Yang tiada ialah rangka kerja undang-undang yang mengiktiraf mesin sebagai pengemudi dan menetapkan tanggungjawab ke atas mesin apabila sesuatu yang buruk berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast