Gambar tular ritual kematian masyarakat Hindu di kawasan pesisir pantai Taman Residence 8, Padang Temu, Melaka semalam.

MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengeluarkan notis kepada ketua sami yang disyaki mengendalikan ritual kematian masyarakat Hindu di kawasan pesisir pantai Taman Residence 8, Padang Temu di sini semalam.

Datuk Bandarnya, Datuk Shadan Othman berkata, ia selepas mendapati aktiviti itu dijalankan di lokasi yang tidak dibenarkan oleh penganut Hindu dari luar Melaka.

Menurut beliau, penguat kuasa turut mengarahkan ritual sama yang pernah dilakukan sebelum ini dihentikan serta merta dan menasihati penganjur supaya tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.

“Notis telah diserahkan kepada ketua sami yang mengendalikan upacara tersebut dan mereka juga telah diberi nasihat supaya tidak menggunakan lokasi itu lagi bagi tujuan ritual keagamaan.

“Kita mengambil tindakan kerana kawasan itu bukan lokasi yang diwartakan atau dibenarkan untuk aktiviti berkenaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam tular kes berkenaan susulan aduan penduduk sebelum anggota penguat kuasa dikerahkan ke lokasi bersama pihak polis bagi membuat pemantauan.

Shadan berkata, MBMB juga telah mengarahkan supaya kawasan itu dibersihkan serta-merta dan semua barangan yang digunakan dalam ritual berkenaan dialihkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada abu mayat dibuang ke kawasan pantai seperti yang dibimbangi segelintir pihak. Yang ada hanyalah beberapa bahan berkaitan upacara seperti beras, bunga-bungaan dan belanga yang digunakan dalam ritual tersebut dan semua bahan berkenaan telah dibersihkan dan dibawa keluar dari lokasi,” katanya.

Beliau berkata, pihak terlibat memberikan kerjasama baik dengan menghentikan upacara serta membersihkan kawasan berkenaan sebelum beredar.

Mengulas lanjut, menurut Shadan, MBMB akan mempertimbangkan cadangan memasang papan tanda larangan di kawasan terbabit bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai pada masa akan datang.

Beliau juga akan berbincang dengan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Pengerusi MIC Melaka, Datuk VP Shanmugam bagi mengenal pasti lokasi yang lebih sesuai untuk masyarakat Hindu menjalankan ritual berkaitan kematian mengikut adat dan kepercayaan mereka tanpa menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.

“Sebenarnya, kawasan di situ (Padang Temu) tidak sesuai digunakan untuk tujuan berkenaan menyebabkan penduduk sekitar tidak selesa.

“Kita faham itu memang adat mereka, jadi kita akan cari penyelesaian yang sesuai untuk semua pihak,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast