KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat bukan sekadar menentukan pentadbiran negeri, sebaliknya menjadi langkah strategik Barisan Nasional (BN) untuk membina momentum politik bagi kembali menguasai Putrajaya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, strategi utama BN dalam PRN Johor adalah untuk mencipta gelombang kemenangan yang mampu merebak ke negeri-negeri lain sebelum diterjemahkan di peringkat Persekutuan.
Menurut beliau, sekiranya BN meraih kemenangan besar di Johor dan Negeri Sembilan, momentum tersebut diharapkan dapat diperluaskan ke Melaka sebelum akhirnya memberi laluan kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan yang didominasi UMNO.
“Matlamat akhir PRN ini bukan sekadar menguasai negeri, tetapi membina naratif bahawa BN adalah pilihan rakyat menjelang PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut merujuk laporan temu bual akhbar Sin Chew Daily bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dikatakan telah menyatakan perancangannya sekiranya diberi mandat sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Sheikh Umar berpandangan bahawa landskap politik negara selepas 2018 jauh lebih dinamik dan tidak semestinya bergerak mengikut perancangan yang disusun.
“Rancangan politik yang disusun di atas kertas tidak semestinya diterjemahkan secara langsung di peti undi,” katanya.
Menurut beliau, UMNO juga berdepan cabaran dalaman termasuk kewujudan pelbagai fraksi yang boleh mempengaruhi hala tuju parti.
Justeru, beliau menegaskan bahawa PRN Johor perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana keputusan pilihan raya itu berpotensi menjadi penentu kepada usaha BN untuk kembali menguasai Putrajaya. – MalaysiaGazette
















