Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius dakwaan berhubung kewujudan sebuah bangunan empat tingkat di kawasan Sungai Tekali, Hulu Langat yang dikatakan dibina secara tidak sah dan dikaitkan dengan penempatan warga asing termasuk komuniti Rohingya.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, isu sebenar yang perlu diberi perhatian bukanlah soal kaum atau etnik semata-mata, tetapi persoalan integriti tadbir urus, penguatkuasaan undang-undang, keselamatan bangunan dan kemungkinan berlakunya kecuaian atau salah guna kuasa oleh pihak tertentu.

Ujar beliau, sekiranya bangunan tersebut dibina tanpa kelulusan pelan bangunan, kebenaran merancang, sijil keselamatan atau kelulusan pihak berkuasa tempatan, MCW mempersoalkan bagaimana sebuah struktur bersaiz besar boleh wujud dan beroperasi dalam tempoh yang lama tanpa tindakan berkesan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Menurutnya, MCW mengambil maklum bahawa premis berkenaan pernah diserbu dalam operasi bersepadu pada Februari tahun lalu yang membawa kepada penahanan puluhan warga asing oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Namun, tambah beliau, persoalan yang masih belum terjawab ialah mengapa isu tersebut dilihat berlarutan sehingga ke hari ini.

Sehubungan itu, tegasnya, MCW menggesa siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT); Pejabat Daerah; JIM; polis dan bomba susulan isu tersebut.

“Selain itu, kita turut mendesak audit integriti terhadap proses penguatkuasaan yang telah dilaksanakan sebelum ini, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah, perlindungan atau kecuaian yang membolehkan pembinaan dan pengoperasian bangunan tersebut berterusan.

“Dalam masa sama, kita menuntut pendedahan laporan status sebenar bangunan kepada orang ramai bagi mengelakkan spekulasi dan sentimen perkauman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, Malaysia ialah sebuah negara yang berasaskan kedaulatan undang-undang, justeru mana-mana individu, pemilik tanah atau penghuni, sama ada warganegara mahupun bukan warganegara, wajib mematuhi undang-undang negara.

Tegasnya, kegagalan bertindak secara tegas hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan pentadbiran awam.

Media sebelum ini melaporkan kewujudan flat empat tingkat yang didakwa dibina etnik Rohingya secara tidak sah di kawasan terpencil di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.

Pendedahan itu dilakukan penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, atau dikenali Pak Azad yang secara kebetulan melalui jalan terbabit sebelum merakam video memaparkan keadaan flat yang mencurigakan.

Video tular terbabit menunjukkan kediaman bertingkat dengan laluan koridor ditutup bumbung zink, struktur dinding batu bata yang tidak disimen dengan sempurna, di samping sambungan paip air dan wayar elektrik yang mencurigakan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast