Datuk Abdul Aziz Ismail.

KUALA LUMPUR – Kesediaan Pas untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak politik bukan petanda kelemahan atau kekurangan sokongan, sebaliknya mencerminkan kematangan politik serta keyakinan parti itu untuk menawarkan kepimpinan yang lebih inklusif dan bersedia menerajui pentadbiran negara.

Penggerak Reset Terengganu, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, keterbukaan yang dizahirkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu menunjukkan parti berkenaan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan politik sempit, sekali gus membuktikan kesediaannya memikul tanggungjawab sebagai peneraju masa depan Malaysia.

“Kesediaan bekerjasama lahir daripada kekuatan, bukan kelemahan. Pas tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangannya semata-mata untuk mendapatkan kuasa.

“Rekod parti itu menunjukkan Pas mampu berdiri sendiri sebagai sebuah gerakan politik yang mempunyai akar umbi kukuh, jentera tersusun dan sokongan yang meluas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata, dalam landskap politik yang semakin berpecah, Pas dilihat antara parti yang konsisten memperjuangkan kestabilan politik, integriti pentadbiran dan kepentingan rakyat.

Menurutnya, kesediaan Pas berunding serta menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak membuktikan parti itu mempunyai kapasiti untuk menjadi pemudah cara dan penyatu kepada pelbagai kelompok politik demi membentuk kerajaan yang lebih stabil dan berkesan.

“Pas kini menjadi titik temu politik Melayu-Islam dan rakyat daripada pelbagai latar belakang. Pendekatan terbuka ini menunjukkan kemampuan parti itu untuk membina persefahaman demi kepentingan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kemampuan membina konsensus, mengurus perbezaan dan mencari titik persamaan antara pelbagai parti merupakan ciri penting sesebuah parti yang berupaya memimpin negara.

“Kesediaan Pas yang terbuka kepada kerjasama politik membuktikan parti itu bukan sekadar memikirkan soal kuasa, tetapi bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk rakyat dan negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua parti pembangkang supaya mengetepikan perbezaan dan bersama-sama membentuk kerjasama yang lebih kukuh demi masa depan rakyat.

“Kesediaan Pas membuka ruang kepada semua pihak adalah petanda bahawa parti itu semakin matang, terbuka serta diyakini rakyat dan bersedia menawarkan kepimpinan yang lebih inklusif untuk Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast