Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid

SEREMBAN –  Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid mencabar mana-mana pihak yang mendakwa wujud gerakan ‘tebuk atap’ melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO negeri itu.

Tegasnya, pihak terbabit perlu mengemukakan bukti dan bukannya terus menabur tuduhan yang menurutnya hanya bertujuan membentuk persepsi politik dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, dakwaan kononnya terdapat ADUN UMNO negeri itu menghadiri pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bagi merancang usaha menjatuhkan kerajaan negeri adalah tidak benar dan sehingga kini gagal disokong dengan sebarang fakta yang boleh disahkan.

“Jika benar ada perjumpaan seperti yang didakwa, tunjukkan bukti. Jika benar ada komplot menjatuhkan kerajaan negeri, dedahkan siapa yang terlibat dan apa bukti yang dimiliki.

“Jangan sekadar melemparkan tuduhan tanpa asas kemudian mengharapkan rakyat mempercayainya bulat-bulat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bibi Sharliza berkata, rakyat Negeri Sembilan hari ini semakin matang dan mampu menilai sendiri sama ada sesuatu dakwaan dibuat berasaskan fakta atau sekadar propaganda politik.

Menurut beliau, naratif kononnya wujud gerakan menjatuhkan kerajaan negeri dilihat sengaja dimainkan ketika pelbagai isu lain yang lebih penting sedang mendapat perhatian rakyat.

Katanya, cubaan menghidupkan dakwaan ‘tebuk atap’ tanpa sebarang bukti yang sah hanya menimbulkan persoalan mengenai motif sebenar pihak yang terus menyebarkan cerita berkenaan.

“Rakyat bukan mudah diperdaya. Mereka tahu membezakan antara kebenaran dan persepsi yang sengaja dibentuk untuk kepentingan politik tertentu.

“Jangan sesekali memperlekehkan kebijaksanaan rakyat dengan menganggap mereka akan terus mempercayai cerita yang tidak pernah dibuktikan,” tegasnya lagi.

Beliau turut menegaskan UMNO Negeri Sembilan tidak mempunyai sebarang keperluan untuk terlibat dalam gerakan politik rahsia seperti yang didakwa.

Sebaliknya, kata beliau, parti itu sentiasa berpegang kepada prinsip politik yang terbuka, bertanggungjawab serta menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi.

Dalam pada itu, Bibi Sharliza berkata, rakyat ketika ini lebih mengharapkan penyelesaian terhadap isu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka berbanding terus disajikan dengan polemik politik yang tidak berkesudahan.

“Rakyat mahukan jawapan terhadap isu sebenar, bukannya cerita mengenai musuh politik khayalan yang diwujudkan untuk mengalihkan perhatian daripada kelemahan sendiri.

“Jika ada bukti, kemukakan. Jika tiada bukti, hentikan tuduhan dan jangan perbodohkan rakyat dengan naratif tebuk atap yang tidak dapat dibuktikan,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

AMK gesa Jalal tampil jelas dakwaan rundingan tumbang kerajaan negeri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast