Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 mengalami cedera ringan dalam insiden serangan udara yang berlaku di kawasan berhampiran Haris, di Lubnan pagi tadi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, insiden berlaku pukul 9.25 pagi waktu tempatan kira-kira satu kilometer di barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di Tibnin.

“Insiden ini membabitkan konvoi logistik MALBATT 850-13 sedang melaksanakan misi ulang bekal rutin menuju ke Tyre. Dua anggota terbabit terkena serpihan cermin kenderaan dan mengalami cedera ringan manakala dua kenderaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalami kerosakan material luaran.

“Sejurus selepas kejadian, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) MALBATT 850-13 dari UNP 6-43 diaktifkan dengan sokongan pasukan perubatan dan elemen logistik bagi membantu anggota terbabit serta menguruskan pemulihan kenderaan yang terjejas kembali ke pangkalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, pasukan yang tiba di lokasi telah melaksanakan penilaian keselamatan, memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur pergerakan konvoi kembali ke pangkalan dengan selamat.

“Kedua-dua anggota yang cedera telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan.

“Waris-waris anggota yang terbabit juga sudah dimaklumkan mengenai insiden ini,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, MALBATT 850-13 meningkatkan langkah berjaga-jaga bagi memperkukuh keselamatan anggota.

“Ia termasuk memperketat prosedur pergerakan konvoi, mempertingkat pemantauan situasi keselamatan semasa, memperkukuh koordinasi dengan pihak UNIFIL dan melaksanakan penilaian risiko menyeluruh sebelum pergerakan di kawasan operasi.

“Kementerian Pertahanan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau perkembangan situasi keselamatan di kawasan operasi dan memastikan tahap kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap tertinggi bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pelaksanaan mandat misi pengaman di Lubnan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast