Kementerian Dalam Negeri.

KUALA LUMPUR – Proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di semenanjung Malaysia bukan proses untuk memberi kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di negara ini.

Sebaliknya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan, melalui DPP, kerajaan akan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti yang lebih terperinci bagi membolehkan status, keberadaan dan latar belakang individu yang terlibat dikenal pasti dengan lebih tepat.

“Data ini amat penting bagi membantu Kerajaan menilai implikasi keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.

“Ia juga membolehkan prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta langkah-langkah penguatkuasaan berkaitan pelarian, pemegang kad UNHCR diperkemas berdasarkan maklumat yang sahih dan boleh disahkan,” kata KDN dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Malaysia telah berhadapan dengan kehadiran pelarian dan pemegang kad UNHCR selama berpuluh tahun.

Namun sehingga kini, kerajaan tidak mempunyai data yang lengkap dan menyeluruh mengenai jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu yang berada di dalam negara atas kapasiti tersebut.

Keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan maka KDN yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dan negeri dan mengurus migrasi negara perlu memastikan setiap keputusan serta dasar yang dilaksanakan berpaksikan data yang tepat, sahih dan dimiliki oleh Kerajaan Malaysia sendiri.

Sehubungan itu, DPP menjadi instrumen penting bagi memastikan kerajaan mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap isu migrasi dan keselamatan negara.

Proses DPP pula melibatkan pemegang dokumen UNHCR serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.

Tegas KDN, prinsip yang dipegang kerajaan adalah keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi.

Pada masa yang sama, isu pelarian perlu diuruskan secara teratur, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Kerajaan percaya bahawa pengurusan migrasi yang berkesan bermula dengan data yang tepat. Kita tidak boleh mengurus sesuatu yang tidak kita kenali, dan kita tidak boleh menjaga keselamatan negara tanpa mengetahui dengan jelas siapa yang berada di dalam sempadan negara.

Justeru, pelaksanaan DPP merupakan langkah penting ke arah pengurusan migrasi yang lebih tersusun, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast