Teresa Kok mengadakan lawatan tapak di Jalan Radin Anum bagi meninjau keadaan gerai sedia ada yang akan dinaik taraf.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan Projek Lestari Niaga di Jalan Radin Anum, Bandar Baru Sri Petaling bagi menangani isu gerai haram, kesesakan laluan pejalan kaki dan susun atur penjaja yang tidak teratur di kawasan berkenaan.

Projek di bawah kawasan Parlimen Seputeh itu merupakan sebahagian inisiatif memperkasa dan menaik taraf kawasan penjaja di ibu negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih tersusun, bersih dan mampan.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, projek tersebut dilaksanakan selepas DBKL mengadakan sesi libat urus bersama persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pusat Khidmat Parlimen Seputeh dan para penjaja yang menjalankan perniagaan di kawasan itu.

Menurut beliau, kawasan Jalan Radin Anum yang selama ini menempatkan gerai-gerai penjaja secara tidak tersusun memerlukan pendekatan baharu bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan peniaga dan keselesaan orang awam.

“Kita mahu kawasan ini menjadi lebih kemas, tersusun dan mesra pejalan kaki tanpa menjejaskan peluang peniaga mencari rezeki.

“Pada masa sama, hak orang awam untuk menggunakan laluan pejalan kaki juga perlu dipelihara,” katanya dalam sebuah sidang media hari ini.

Sementara itu, Pengurus Kawasan (Seputeh) DBKL, Ahmad Fairuz berkata, melalui Projek Lestari Niaga, gerai-gerai sedia ada akan disusun semula dengan reka bentuk yang lebih seragam dan teratur selain menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada peniaga serta pengunjung.

“Tujuan utama projek ini adalah untuk memulihkan dan mencantikkan kawasan gerai sedia ada. Kita mahu memastikan kedudukan gerai lebih teratur, bersih dan selaras dengan imej bandar raya,” katanya.

Beliau berkata, antara cadangan yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan gerai berkunci mengikut konsep gerai moden, penyusunan semula kedudukan gerai, pembinaan laluan pejalan kaki, pembangunan kawasan hijau serta kerja-kerja pembaikan longkang dan tembok penahan.

Menurutnya, projek tersebut turut memberi penekanan kepada penyediaan laluan pejalan kaki yang lebih selesa memandangkan sebahagian besar laluan sedia ada kini digunakan sebagai ruang perniagaan.

“Orang awam yang berjalan kaki juga mempunyai hak untuk menggunakan laluan yang selamat dan selesa. Oleh itu kita akan memastikan ruang pejalan kaki dikembalikan dan kawasan ini menjadi lebih teratur,” katanya.

Berdasarkan pelan cadangan, projek berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan sebuah struktur utama di bahagian hadapan kawasan serta 17 unit gerai di sepanjang Jalan Radin Anum.

Antara isu utama yang dikenal pasti di tapak ialah jumlah penjaja yang perlu dikenal pasti dan dimuktamadkan oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan (JPPP), laluan pejalan kaki yang tidak berterusan serta struktur longkang dan jalan dalaman yang terhalang oleh gerai-gerai sedia ada.

DBKL dijangka memperuntukkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi melaksanakan Projek Lestari Niaga tersebut.

Melalui projek itu, kawasan Jalan Radin Anum dijangka berubah menjadi pusat penjaja yang lebih tersusun, selamat dan kondusif sekali gus meningkatkan imej Bandar Baru Sri Petaling sebagai kawasan komersial yang terancang dan mesra pengguna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast