KUALA LUMPUR – Penyerang muda kebangsaan, Fergus Tierney memberi bayangan bakal meninggalkan Sabah FC selepas semusim beraksi dengan skuad Sang Badak itu.
“Satu pengalaman yang hebat! Terima kasih kepada semua rakan sepasukan, jurulatih, kakitangan dan peminat saya.
“Saya telah bertemu rakan seumur hidup dan kenangan yang akan saya hargai selama-lamanya,” tulisnya.
Sepanjang bersama Sabah secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Tierney merekodkan 10 gol dan dua bantuan gol dalam 38 penampilan Liga Malaysia (Liga M).
Beliau turut membantu pasukan itu mara ke final Piala FA 2025/26 dan muncul juara Piala Cabaran musim sama.
Sementara itu, bayangan perpisahan Tierney itu dilihat sebagai petanda penyerang itu semakin hampir menyertai DPMM FC.
Ini kerana minat DPMM terhadap bekas penyerang Nakhon Pathom United itu bukan perkara baharu malah kelab Brunei itu sudah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat Tierney sejak Mei lalu. – MalaysiaGazette
















