Lee Chean Chung.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), selepas 18 tahun menyertai parti itu dan lapan tahun menyandang jawatan di peringkat pusat.

Bagaimanapun, menurutnya, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, Chean Chung berkata, meskipun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah menjadi Perdana Menteri, namun pengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya yang diwakilinya telah dihukum pada 29 Mei lalu.

Katanya, ia apabila akses kepada sistem MyKhas dibatalkan menyebabkan beliau tidak lagi dapat meneruskan urusan peruntukan kawasan dan Program Mesra Rakyat.

“Tuntutan saya sangat mudah. Saya berharap parti dapat memberikan satu penjelasan yang munasabah.

“Sehingga kini, hanya seorang Timbalan Setiausaha Agung membuat kenyataan media menyatakan bahawa ini adalah akibat daripada pilihan politik, sedangkan PKR masih belum memberikan sebarang penjelasan rasmi kepada saya dan para pengundi.

“Jikalau apa yang saya mahu hanyalah peruntukan, boleh sahaja saya memilih untuk berdiam diri seperti ramai yang berada dalam parti, agar semua berjalan lancar seperti biasa, seolah-olah tiada kesilapan yang perlu diperbetulkan.

“Tetapi itu bukan perwatakan saya. Itu juga bukan Chean Chung yang dikenali orang ramai sehingga sudi untuk terlibat dalam aktiviti jualan amal, perarakan tanglung, dan jualan akhbar Suara Keadilan,” katanya.

Sementara itu, Chean Chung turut menyifatkan PKR hari ini bukan lagi PKR seperti yang dikenalinya dahulu.

Dakwa beliau, barisan kepimpinan, demi mempertahankan kedudukan masing-masing, tidak sanggup tampil untuk membetulkan kesilapan parti.

“Saya sudah tidak mampu lagi untuk terus berada dalam kepimpinan dan bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Tambah Chean Chung, selepas meletakkan jawatan parti, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen atas kapasiti ahli biasa parti, untuk menyemak imbang kerajaan dan memastikan beberapa rang undang-undang reformasi pada bulan ini iaitu had tempoh jawatan Perdana Menteri, pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Akta Kebebasan Maklumat akan dibentang dan diluluskan. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast