Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir

MELAKA – Kerajaan didakwa turut menanggung kira-kira RM30 juta setahun bagi kos rawatan kesihatan membabitkan pelarian etnik Rohingya di hospital kerajaan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai beban kewangan yang terpaksa dipikul oleh pembayar cukai tempatan.

Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, isu itu kini bukan lagi sekadar kemanusiaan, sebaliknya melibatkan keupayaan negara mengurus populasi pelarian yang semakin meningkat.

Tegasnya lagi, kadar kelahiran yang tinggi dalam kalangan komuniti pelarian menyebabkan tekanan tambahan terhadap kemudahan awam termasuk hospital kerajaan, sekolah dan perkhidmatan sosial.

“Kita lupa, golongan pelarian (Rohingya) ini beranak dekat 10 orang, rakyat Malaysia satu dua sahaja. Jadi di sini orang dah bising dari segi kemudahan hospital, sikap dia sedangkan yang bayar cukai itu kita.

“Ada dalam laporan yang sah mendedahkan, kerajaan menanggung kira-kira RM30 juta setahun untuk urusan beranak, sakit dan rawatan di hospital kerajaan.

“Itu duit siapa? Itu duit cukai rakyat Malaysia. Bila rakyat Malaysia sendiri terpaksa berkongsi kemudahan yang semakin sesak, sudah tentu timbul rasa tidak puas hati.

“Bila rakyat Malaysia nak bersalin, terpaksa berhimpit-himpit dengan mereka (pelarian) memanglah kita marah,” katanya menerusi Podcast Bawa Otak topik Rohingya yang disiarkan di Facebook (FB) UKM Pakarunding.

Beliau berkata, kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewujudkan sistem kawalan dan pemantauan yang berkesan terhadap pelarian sejak awal menjadi punca masalah berpanjangan.

“KDN mana pengawalan pelarian? Daftar pengawalan pelarian (DPP) yang ada sekarang ini bukan mekanisme pengawalan. Kita kena ada mekanisme pengawalaan dari awal dia masuk, kita nak tempatkan dia di mana?

“Kita nak pastikan, mereka ini anak keluar kan? (beranak pinak) dan kalau mereka tak berpendidikan siapa nak ambil? Itu yang berlambak dekat Malaysia sekarang,” tegasnya.

Salawati mendakwa, Malaysia selama ini berfungsi sebagai negara transit kepada pelarian Rohingya yang berharap untuk ditempatkan semula ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, United Kingdom dan negara-negara Eropah.

Bagaimanapun tegasnya, proses penempatan semula tersebut didakwa semakin perlahan menyebabkan ramai terus menetap di negara ini untuk tempoh yang panjang.

“Kad UNHCR bukan tiket kebal daripada tindakan undang-undang. Ia hanya dokumen pengenalan yang menunjukkan seseorang itu diiktiraf sebagai pelarian dan sedang menunggu proses penempatan ke negara ketiga.

“Masalahnya, proses penghantaran ke negara ketiga sangat perlahan dan ramai akhirnya kekal berada di Malaysia bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pemegang kad UNHCR tidak memperolehnya dengan mudah kerana perlu melalui beberapa sesi temu bual dan proses penilaian yang panjang sebelum diberikan status pelarian.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menilai semula dasar pengurusan pelarian termasuk mewujudkan sistem pendaftaran, pemantauan dan penempatan yang lebih tersusun bagi mengelakkan beban kewangan negara terus meningkat pada masa depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast