Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) di Dewan Damar Sari, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JUN 2026.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan konsep keadilan yang dibawa kerajaan tidak boleh ditafsir berdasarkan kaum atau negeri semata-mata, sebaliknya mesti berasaskan kepada keperluan sebenar rakyat.

Beliau berkata, terdapat kecenderungan dalam wacana dan naratif politik semasa yang mentafsirkan keadilan mengikut kelompok tertentu, sedangkan bantuan dan perhatian sewajarnya perlu diberikan kepada golongan yang paling memerlukan.

Menurutnya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan prinsip keadilan dan ihsan dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat.

“Kadang dalam wacana dan naratif politik dalam negara hari ini, kadang keadilan ni maknanya masing-masing nak ikut negeri, kadang ikut kaum.

“Padahal, dia mesti ikut apa yang diperlukan. Kalau kaum itu miskin ramai, kita kena beri perhatian,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koprojaya kali ke 10 di Dewan Damar Sari, Kompleks F, hari ini.

Anwar berkata, berdasarkan keadaan semasa, majoriti golongan miskin di negara ini masih terdiri daripada masyarakat Melayu Bumiputera dan keadaan itu memerlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kelompok masyarakat lain yang berdepan masalah kemiskinan juga tidak boleh diketepikan dalam agenda pembangunan negara.

“Kalau tengok majoriti kemiskinan negara kita, majoritinya masih Melayu Bumiputera.

“Tapi ada kelompok India umpamanya, ataupun orang ulu yang miskin, itu mesti ditangani,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan kefahaman mengenai makna sebenar keadilan dan ihsan perlu terus diperkukuhkan agar pelaksanaan dasar kerajaan dapat memenuhi keperluan rakyat secara lebih saksama dan berkesan. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast