MELAKA – Komuniti Rohingya di Melaka pernah mengemukakan permintaan yang melangkaui kedudukannya sebagai pelarian termasuk mendapatkan tauliah mengajar agama dan meletakkan wakil mereka dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Malah, pelarian berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu juga ada memohon kebenaran mengadakan solat Jumaat secara berasingan dalam kalangan etnik Myanmar itu sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem yang lantang bersuara mengenai isu Rohingya sejak 2021 berkata, kesemua permintaan itu bagaimanapun tidak pernah dilayan kerajaan negeri.
“Mereka pernah memohon supaya ada wakil Rohingya dalam JPKK, mahu laksanakan solat Jumaat mereka sendiri dan memohon tauliah mengajar agama kononnya untuk mendidik anak-anak komuniti mereka.
“Tapi kita tidak pernah bersetuju dan kita pantau perkara ini kerana pelarian tetap pelarian. Kita tidak pernah mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mempunyai hak sama seperti kaum-kaum lain di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai pemantauan bersama beberapa agensi kerajaan di kawasan penempatan Rohingya Jalan Pulau Senang 3, Semabok, di sini malam tadi. Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Mengulas lanjut Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, beliau percaya keberanian segelintir komuniti Rohingya mengemukakan tuntutan itu berpunca daripada ruang yang pernah diberikan pihak tertentu sebelum ini.
“Saya melihat permohonan mungkin mempunyai tujuan lain iaitu membolehkan individu terbabit bergerak bebas dari satu kawasan ke satu kawasan lain atas kapasiti sebagai tenaga pengajar agama,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Melaka itu berkata, dianggarkan hampir 1,000 pelarian Rohingya kini menetap di sekitar kawasan Parlimen Kota Melaka terutamanya di Duyong, Limbongan serta Pengkalan Rama Pantai.
Bagaimanapun katanya, jumlah sebenar sukar dipastikan namun mengakui keadaan semakin terkawal susulan pemantauan berterusan oleh pelbagai agensi berkaitan sejak hampir empat tahun lalu bagi mengelakkan pembentukan penempatan baharu.
“Isu Rohingya pernah dijadikan modal politik oleh pelbagai pihak sehingga mewujudkan persepsi bahawa golongan itu wajar diberikan pelbagai kelonggaran dan pengiktirafan atas dasar simpati terhadap nasib mereka.
“Tetapi hari ini kita berdepan realiti yang berbeza kerana isu ini bukan lagi soal simpati semata-mata, sebaliknya melibatkan keselamatan, ekonomi dan kedaulatan negara,” katanya.
Malah katanya, sehari selepas beliau memenangi kerusi Duyong pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021, wakil komuniti Rohingya sudah menghubunginya untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan komuniti tersebut.
“Atas dasar kemanusiaan kita bantu, tetapi jangan sampai dasar kemanusiaan itu disalah tafsir sebagai tiket untuk menuntut hak politik, hak pentadbiran atau pengiktirafan yang bukan milik mereka.
“Isu Rohingya hari ini bukan lagi isu politik kepartian, tetapi isu negara yang memerlukan pendirian jelas dan tegas daripada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















