LONDON – Manchester United dilaporkan sedang aktif menjalin komunikasi dalam dengan pihak terdekat pemain pertahanan kental Newcastle United, Lewis Hall sejak kebelakangan ini.
Pakar perpindahan bola sepak antarabangsa, Fabrizio Romano berkata, minat Man United terhadap pemain tersebut bukan perkara baharu kerana kelab itu telah membuat pendekatan awal beberapa minggu lalu.
Pada masa sama, Hall dikatakan merupakan antara pemain bek kiri yang amat digemari oleh pihak pengurusan United dan mereka terus memantau perkembangannya dengan serius.
Dalam laporan sama, Romano turut mendedahkan bahawa Man United difahamkan tidak lagi merancang untuk mendapatkan rakan sekelab Hall iaitu Sandro Tonali.
“Meskipun nama Tonali pernah berada dalam radar dan senarai sasaran kelab sejak sekian lama, kos perpindahan yang tinggi dilihat menjadi halangan utama.
“Pihak kelab percaya bahawa mendapatkan kedua-dua pemain Newcastle itu iaitu Tonali dan Hall boleh menelan belanja sekitar £120 juta sehingga £130 juta.
“Atas sebab itu, United menganggap perpindahan Tonali tidak lagi menjadi keutamaan ketika ini,” katanya. – Agensi
















