Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Saiful Yazan Sulaiman

KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan tindakan seorang pegawai kepada Menteri Besar Negeri Sembilan menggelarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai ‘Undang Yang Ke-5’ sebagai satu perbuatan tidak wajar.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Saiful Yazan Sulaiman menegaskan, ia mencemarkan kemuliaan Institusi Adat Negeri Sembilan.

“Perbuatan mengaitkan mana-mana pemimpin politik dengan gelaran Undang, walaupun atas alasan gurauan atau sindiran adalah tidak wajar dan tidak sensitif.

“Malah ia menunjukkan kegagalan memahami nilai serta kedudukan Institusi Adat Negeri Sembilan.

“Ini kerana ia mempunyai kedudukan tinggi, sejarah panjang serta kemuliaan tersendiri dalam sistem Adat Perpatih dan struktur kenegaraan Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Saiful Yazan Sulaiman

Beliau berkata demikian mengulas penularan rakaman video di media sosial memaparkan seorang pegawai kepada Menteri Besar menggelar Loke sebagai ‘Undang Yang Ke-5’ dalam Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Saiful Yazan melahirkan rasa kecewa kerana kenyataan tersebut didakwa datang daripada individu yang berada dalam lingkungan pentadbiran kerajaan negeri.

“Pegawai kepada Menteri Besar Negeri Sembilan itu sepatutnya menjadi contoh dalam memelihara dan menghormati adat serta institusi negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Saiful Yazan menggesa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan pendirian secara terbuka dan memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.

“Menteri Besar tidak boleh mengambil sikap berdiam diri atau menganggap perkara itu sebagai isu remeh.

“Ini kerana kegagalan bertindak boleh menimbulkan persepsi bahawa tindakan memperlekeh institusi adat diterima serta dibenarkan oleh pentadbiran kerajaan negeri.

Selain itu, kata Saiful Yazan, pegawai terbabit juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Negeri Sembilan dan Institusi Undang Yang Empat tanpa sebarang alasan atau helah.

“Permohonan maaf itu perlu dibuat segera bagi menunjukkan rasa tanggungjawab atas keterlanjuran yang telah berlaku,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat Negeri Sembilan tidak akan membenarkan adat, institusi dan warisan negeri dipermainkan demi kepentingan atau retorik politik mana-mana pihak.

“Institusi adat bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan maruah dan identiti Negeri Sembilan yang perlu dipelihara oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Adat mesti dijunjung, institusi harus dipertahan dan maruah negeri tidak boleh dipermainkan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast