JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mengabaikan dua anaknya sehingga menyebabkan seorang maut, seorang lagi cedera parah selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi, awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad berkata, suspek, 37, yang merupakan ibu kepada dua kanak-kanak warga tempatan itu dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Ini susulan kertas siasatan yang sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya.
“Mahkamah kemudian membenarkan suspek diikat jamin sebanyak RM8,000, namun wanita itu gagal membayar wang jaminan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara pada 7 Jun lalu.
Dalam kejadian tersebut katanya, seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.
Menurut beliau, suspek kini ditahan di penjara sehingga tarikh sebutan semula kes pada 22 Julai ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi atau melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang berhubung kes berkenaan.- MalaysiaGazette
















