KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih silat berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didakwa memuat naik hantaran di Facebook yang mempunyai unsur hasutan berkaitan Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun,tertuduh, Raden Azrul Amirulla berusia 36 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki yang menetap di Sabah itu didakwa menerbitkan hantaran berkenaan menerusi akaun Facebook miliknya yang kemudian dikesan pihak berkuasa di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, 23 Disember 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Shariff memohon jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Farhanna Roslan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada bawah RM5,000 kerana mempunyai tanggungan keluarga.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Hakim juga menetapkan sebutan kes pada 13 Julai depan. -MalaysiaGazette















