Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga asing didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh anak tirinya di sebuah rumah di Taman Perling di sini, awal bulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan.

“Tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan dan kini ditahan di Penjara Simpang Renggam sementara menunggu sebutan semula kes yang ditetapkan pada 18 Jun ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia empat tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibu tirinya yang berusia 23 tahun puk 4.23 petang, pada 2 Jun lalu.

Wanita itu katanya, kemudian menghubungi ambulans sebelum mangsa disahkan meninggal dunia selepas tiba di hospital.

Jelasnya, siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan fizikal pada tubuh mangsa dan kes pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dijalankan pada 3 Jun mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan tumpul pada bahagian dada (blunt trauma to the chest), sekali gus menyebabkan kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Beliau berkata, susulan perkembangan itu, polis menahan tiga warga asing iaitu bapa kandung mangsa berusia 22 tahun, bapa saudara mangsa berusia 32 tahun serta ibu tirinya berusia 23 tahun dalam serbuan berasingan sekitar daerah ini pada 3 Jun.

Katanya, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing ke atas mereka didapati negatif.

“Mahkamah Majistret Johor Bahru kemudian membenarkan perintah reman terhadap kesemua suspek bermula 3 hingga 17 Jun bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, selepas siasatan lengkap dijalankan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, pihak pendakwaan mengarahkan supaya ibu tiri mangsa dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, turut dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Dalam masa sama, kedua-dua suspek lelaki dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan bon jaminan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi atau melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang berhubung kes berkenaan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah walaupun mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.

“Masyarakat juga digalakkan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis bagi membantu mengekalkan ketenteraman awam,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast