KUALA LUMPUR – Kecekalan seorang remaja yatim piatu yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meskipun berdepan pelbagai cabaran hidup akhirnya mendapat perhatian apabila dia menerima sendiri surat tawaran melanjutkan pengajian ke TVET Mara Seberang Perai Utara (SPU), sekaligus membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya menuju masa depan yang lebih cerah.
Kisah gembira itu dikongsikan, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki apabila memaklumkan, surat tawaran itu disampaikan sendiri kepada Auni Batrisyia oleh Pengarah TVET Mara SPU, Ir. Rahim Selamat bersama pasukannya di kediaman pelajar itu di Kampung Air Panas, Pengkalan Hulu.
Katanya, dalam suasana penuh syukur dan emosi, Auni yang membesar tanpa kasih sayang ibu dan bapa bakal mengikuti Program Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Domestik dan Industri), sebuah bidang yang menawarkan prospek kerjaya luas serta sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam sektor industri negara.
Lebih istimewa, pengajian di TVET Mara SPU bukan sahaja membolehkan pelajar memperoleh diploma, malah turut memberi peluang mendapatkan tiga sijil kompetensi profesional yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga, Sustainable Energy Development Authority (SEDA) dan KNX International.
Menurut Asyraf Wajdi, laluan pendidikan yang menanti Auni juga tidak terhenti di peringkat diploma.
“Selepas tamat pengajian, beliau berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Kejuruteraan Elektrik di UniKL BMI sebelum melangkah ke alam pekerjaan profesional dengan anggaran gaji permulaan sekitar RM4,000 hingga RM6,000 sebulan.
“Malah, sekiranya beliau meneruskan laluan profesional melalui program bridging dan berjaya memperoleh pengiktirafan sebagai Jurutera Profesional (Ir.), pendapatan yang mampu diraih boleh mencecah antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, kisah Auni wajar dijadikan inspirasi kepada seluruh anak muda kerana membuktikan bahawa kesusahan hidup bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.
“Walaupun tidak mempunyai ibu dan bapa serta terpaksa berdepan pelbagai cabaran hidup bersendirian, Auni tetap berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam SPM.
“Insya-Allah pada 22 haribulan ini beliau akan mendaftarkan diri di TVET Mara SPU. Wakil saya di Gerik akan membantu menghantarnya dengan kenderaan supaya beliau tidak perlu menaiki motosikal bersendirian ke kampus,” ujarnya.
Beliau berkata, pendidikan merupakan kunci utama yang mampu mengubah nasib seseorang dan membuka ruang kepada kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.
“Kisah Auni bukan sekadar tentang tawaran melanjutkan pengajian, tetapi lambang harapan dan kekuatan seorang anak muda yang enggan menyerah kalah kepada takdir.
“Di sebalik kehilangan dan kesukaran yang ditempuh, sinar masa depan kini mula menyinar buat dirinya, membuktikan ilmu mampu menjadi jambatan untuk mengubah kehidupan,” ujar Asyraf Wajdi. – MalaysiaGazette















