KLUANG – Bapa kepada anggota tentera Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, yang terkorban dalam latihan semalam, memaklumkan kali terakhir berhubung dengan arwah adalah menerusi aplikasi WhatsApp.
Sungip Jais, yang berusia 65 berkata, anaknya hanya sempat menyampaikan beberapa pesanan ringkas berkaitan tugasan yang sedang dijalankan.
Dia tidak menyangka apa-apa malah tidak terfikir itu merupakan mesej terakhir daripada anaknya.
“Arwah merupakan seorang yang berperwatakan biasa, mudah didekati dan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan seluruh ahli keluarga.

“Alhamdulillah, hubungan dia dengan keluarga memang baik. Lepas tamat latihan rekrut, saya ada bergurau tanya bila nak kahwin, tetapi dia beritahu mahu menjaga mak dan ayah terlebih dahulu,” katanya ditemui di Taman Sri Lambak di sini hari ini.
Sungip berkata, arwah sememangnya meminati kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pernah mencatat pencapaian akademik terbaik sebelum ditempatkan sebagai anggota jurutera di Kemunting, Taiping.
Dia sempat menziarahi arwah ketika anaknya mendapat cuti selama tiga hari di Taiping, Perak namun kali terakhir mereka bertemu sudah agak lama kerana arwah sibuk menjalani latihan sebelum Hari Raya Aidiladha.
Mengulas mengenai berita kematian anaknya, dia berkata, makluman diterima melalui panggilan telefon daripada pegawai ATM sebelum memaklumkan perkara itu kepada anak sulungnya.
“Ketika itu adik-beradik yang lain belum tahu lagi. Saya beritahu anak sulung dan dia yang membantu menguruskan keadaan,” ujarnya.

Dia mengakui isterinya sebagai seorang ibu sukar menerima kehilangan tersebut, namun akhirnya reda dengan ketentuan Ilahi.
“Saya sendiri bekas tentera. Apabila menerima panggilan itu, saya cuba terima seadanya. Saya tidak berani membuat sebarang andaian kerana saya sendiri tidak menyaksikan kejadian itu di depan mata,” katanya.
Terdahulu jenazah tiba ke rumah keluarga di Taman Sri Lambak pada pukul 12 tengah hari sebelum disolatkan di Masjid Nurul Iman dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak tengah hari ini.
Kira-kira 400 orang terdiri daripada rakan setugas dan ahli keluarga hadir untuk memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan berlaku satu insiden ketika pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun, jam 10.57 pagi Selasa.
Dua anggota, Koperal Norazmi, 40 daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah daripada Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.- MalaysiaGazette
















