KUALA LUMPUR – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang dengan penentuan akhir kerusi dibuat menerusi perbincangan bersama rakan kerjasama politik termasuk Pas.
Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, parti itu kini giat memperkukuhkan jentera pilihan raya sebagai persediaan menghadapi PRN selain menekankan pendekatan kempen yang lebih matang dan berfokus kepada tawaran penyelesaian kepada rakyat.
Menurut beliau, jentera parti telah disusun lebih awal dan akan diberi taklimat khusus bagi memastikan mesej kempen disampaikan secara berkesan kepada pengundi.
“Saya tidak mahu kempen yang hanya memburuk-burukkan pihak lain atau berunsur kecaman.
“Berjasa mahu membawa pendekatan politik yang segar, sihat dan menawarkan idea terbaik kepada rakyat. Biarlah rakyat membuat pilihan berdasarkan tawaran yang dikemukakan,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya Berjasa di Seremban, hari ini.
Zamani turut menggesa semua parti politik supaya mengamalkan budaya persaingan yang sihat dengan menampilkan agenda dan penyelesaian masing-masing, bukannya menyerang lawan politik.
“Sudah tiba masanya politik negara berubah. Semua parti perlu bersaing secara sihat, mengemukakan calon yang berkualiti dan menawarkan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, antara agenda yang sedang diperincikan oleh Berjasa ialah usaha memperkukuh ekonomi rakyat melalui penerokaan sumber ekonomi baharu yang mampu memberikan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurutnya, parti itu bukan sahaja mengemukakan idea, malah sedang menyusun pelan pelaksanaan yang melibatkan agensi, program dan projek yang lebih tersusun.
Mengulas mengenai sasaran 15 kerusi DUN di Negeri Sembilan, Zamani menjelaskan, jumlah tersebut masih tertakluk kepada rundingan bersama parti-parti yang berpotensi menjalinkan kerjasama pilihan raya.
“Kita membawa sasaran 15 kerusi, namun perkara itu akan diperhalusi melalui perbincangan supaya tidak berlaku pertembungan sesama parti yang mempunyai matlamat yang sama,” ujarnya.
Beliau berkata, pemilihan calon akan memberi tumpuan kepada individu profesional dan berwibawa termasuk golongan doktor, jurutera, agamawan serta tokoh masyarakat yang mampu membawa imej positif kepada parti.
“Kami mempunyai ramai tokoh profesional dan agamawan yang berpotensi diketengahkan. Namun senarai calon masih dalam proses perbincangan dan belum dimuktamadkan,” ujarnya.
Tambah beliau, antara kawasan yang menjadi perhatian parti ialah kawasan luar bandar serta kawasan yang mempunyai jumlah pengundi muda yang tinggi.
Dalam pada itu, Zamani menyeru rakyat tanpa mengira kaum supaya keluar mengundi dan menggunakan hak demokrasi masing-masing bagi menentukan masa depan negeri dan negara.
“Semua rakyat mempunyai hak yang sama, sama ada Melayu, Cina atau India. Gunakan hak mengundi untuk memilih calon yang diyakini mampu membawa perubahan yang lebih baik,” katanya.
Mengulas mengenai Johor, beliau memaklumkan Berjasa tidak berhasrat bertanding di negeri itu buat masa ini, sebaliknya akan memberi tumpuan membantu gerak kerja pilihan raya melalui jentera parti yang sedia ada.
Beliau turut mengesahkan hasrat untuk bertanding pada PRN Negeri Sembilan, namun kawasan yang bakal ditandingi masih belum diputuskan dan bergantung kepada hasil rundingan kerjasama politik yang sedang berlangsung. – MalaysiaGazette
















