KUALA LUMPUR – Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun 2026, diturunkan 30 sen kepada RM4.37 seliter, berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
Bagaimanapun menurut Kementerian Kewangan, harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi kekal masing-masing pada kadar RM4.35 dan RM3.72 seliter.
Turut kekal adalah harga semua bahan api bersubsidi.
Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan memandang positif perkembangan terkini dalam konflik di Asia Barat, khususnya tanda-tanda ke arah penyelesaian yang berkekalan.
Perkembangan tersebut katanya menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.
Namun begitu, tanggungan subsidi kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion.
Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan.
“Masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras prakonflik.
“Ini termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya, serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kerajaan akan terus memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan operasi sektor tertentu terpelihara melalui bantuan dan subsidi bersasar, di samping mengurus perbelanjaan fiskal secara berhemat dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi. -MalaysiaGazette
















