[GAMBAR HIASAN] Warga Rohingya menjual juadah berbuka puasa kepada warganya pada bulan ramadan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar pasar borong Selayang, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan perbincangan mengenai isu pelarian, migrasi dan komuniti rentan sering menimbulkan pelbagai pandangan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Oleh yang demikian, tegasnya, cabaran berkaitan migrasi dan perpindahan manusia bukanlah isu yang boleh diselesaikan melalui sentimen permusuhan atau pengasingan sosial.

Sebaliknya, ia perlu diberi perhatian sewajarnya kerana melibatkan kepentingan keselamatan negara, kawalan sempadan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.

Menurutnya, tanggungjawab mengurus dan menangani perkara-perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa kerajaan serta agensi-agensi berkaitan yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas tersebut demi kepentingan negara dan rakyat.

Namun demikian, ujarnya, kebimbangan terhadap isu keselamatan tidak seharusnya mendorong kepada penyebaran kebencian, penghinaan atau layanan yang menafikan maruah mana-mana individu atau komuniti.

“Perbezaan pandangan mengenai dasar dan pengurusan sesuatu isu perlu dibincangkan secara matang dan berasaskan fakta tanpa menjejaskan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada keharmonian masyarakat,” ujar suruhanjaya itu dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini.

Suhakam selanjutnya menyatakan, isu yang ditimbulkan memerlukan pendekatan yang menyeluruh melalui dasar yang berkesan, penguatkuasaan yang sewajarnya serta kerjasama semua pihak.

Dalam hal ini, nilai kemanusiaan dan penghormatan terhadap maruah insan hendaklah terus dipelihara seiring dengan usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Ujar suruhanjaya itu, sempena sambutan Maal Hijrah 1448H, ia menyeru rakyat Malaysia menghayati pengajaran besar daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang melambangkan ketabahan dalam menghadapi penindasan, usaha mencari perlindungan serta pembinaan sebuah masyarakat yang berteraskan keadilan, keamanan dan penghormatan terhadap maruah insan.

“Peristiwa hijrah mengingatkan kita bahawa sepanjang sejarah manusia, terdapat golongan yang terpaksa meninggalkan tempat asal mereka akibat konflik, penganiayaan, ketidakamanan atau pelbagai bentuk penindasan.

“Pengajaran ini kekal relevan sehingga hari ini ketika dunia masih berdepan dengan pelbagai krisis kemanusiaan yang memaksa jutaan manusia mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih selamat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Suhakam menyatakan, kerangka perlindungan pelarian antarabangsa termasuk Konvensyen Pelarian 1951 menyediakan panduan yang jelas dalam mengurus isu pelarian termasuk memastikan mereka yang memerlukan perlindungan dilayan selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat.

Sehubungan itu, suruhanjaya tersebut berhasrat membawa advokasi yang telah lama diperjuangkan agar Malaysia menyertai konvensyen tersebut.

“ Sebanyak146 buah negara telah menjadi pihak kepada Konvensyen ini termasuk beberapa Negara Anggota ASEAN iaitu Kemboja, Filipina dan Timor-Leste,” ujarnya.

Menurut Suhakam, sementara menunggu penyertaan, kerajaan perlu membangunkan satu dasar nasional yang jelas dan menyeluruh berkaitan pelarian dan pencari suaka agar ia dapat membantu memperjelas urus tadbir dan tanggungjawab agensi-agensi berkaitan.

Ia juga dapat memperkukuh penyelarasan antara pihak yang terlibat, menangani kebimbangan masyarakat dengan lebih berkesan, serta mewujudkan pendekatan yang seimbang antara kepentingan negara dan pemeliharaan maruah insan serta nilai-nilai kemanusiaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast