KLUANG – Tuduhan bahawa Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi benci kepada orang Cina adalah tidak tepat dan jauh daripada fakta sebenar.
Bekas Pengetua sekolah mengengah, Chin Sim Lai, 70, berkata, Menteri Besar Johor itu hanya tidak mahu bekerjasama dengan DAP dalam hal urus tadbir negeri ini dan bukan tidak menyukai orang Cina seperti dimomokkan sesetengah pihak.
Jelas beliau, secara hakikatnya DAP tidak mewakili keseluruhan orang Cina di Johor manakala Barisan Nasional (BN) masih bergabung dengan MCA yang merupakan parti yang mewakili orang Cina.
Justeru katanya, masyarakat perlu bijak menilai antara fahaman parti dan peranan hakiki sebagai kerajaan dan perkara tersebut tidak boleh disamaertikan.
“Di Johor, kita ada bangsa Johor dan mewakili semua kaum malah dalam setiap apa juga perancangan kerajaan negeri melibatkan semua kaum serta tiada mana-mana pihak dikecualikan.
“Sebagai seorang masyarakat Cina di negeri ini, saya dapat merasakan bahawa kami menerima setiap perkara sama ada dari bidang kebajikan, sumbangan pendidikan, pembangunan ekonomi dan lain-lain lagi yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sejak dibawah pentadbiran Onn Hafiz,” katanya ditemui hari ini.
Justeru itu, beliau menyeru masyarakat Cina secara keseluruhan agar memahami erti sebenar perbezaan antara sentimen perkauman dengan fahaman parti politik.
“Jangan hanya kerana semangat kepartian ini semangat perpaduan yang sekian lama terbina musnah begitu sahaja,” katanya.
Onn Hafiz semasa berucap dalam pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) baru-baru ini berkata, beliau tidak akan duduk semeja dengan DAP sekiranya BN kembali memerintah Johor.- MalaysiaGazette
















