KUALA LUMPUR – Seramai 13 individu termasuk seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di utara tanah air direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2.5 juta daripada kontraktor sebagai balasan melantik syarikat yang dikawal ejen kartel bagi memonopoli kerja lantikan terus dan sebut harga agensi berkenaan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, kesemua suspek terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 60-an yang ditahan antara pukul 8 malam hingga 11 malam Isnin lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Daripada jumlah itu, lapan suspek merupakan penjawat awam manakala, lima lagi adalah orang awam dan pemilik syarikat.
Tiga individu membabitkan dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat direman selama dua hari bermula semalam hingga hari ini, manakala 10 suspek lain direman selama lima hari bermula semalam hingga 20 Jun.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak, semalam.
Siasatan awal mendapati, kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2026.
Menurut sumber, kontraktor yang terlibat mendakwa, mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah sebelum wang itu disalurkan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan berkenaan.
Pada Isnin lalu, Bahagian Siasatan SPRM melancarkan Op Drain di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak bagi membongkar kegiatan tersebut.
Menerusi operasi itu, SPRM telah menggeledah 25 lokasi yang melibatkan kediaman, premis pejabat dan agensi kerajaan.
Hasil serbuan, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM1.5 juta, sebuah jam tangan mewah, dua kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi serta barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















