Onn Hafiz Ghazi ketika berucap pada majlis pelancaran JETP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru hari ini. - Foto Media Digital Johor

JOHOR BAHRU – Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dilancarkan hari ini bertujuan menjadi pemangkin utama dalam merealisasi agenda Maju Johor 2030.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, menerusi JETP limpahan pembangunan bukan sahaja tertumpu di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) malah diperluaskan di kesemua 10 daerah di negeri ini.

“Setiap daerah akan dibangunkan berdasarkan kekuatan dan potensi masing-masing bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara seimbang oleh rakyat di seluruh Johor.

“JETP akan menjadi pemacu kepada enam teras utama Maju Johor 2030 iaitu tadbir urus kerajaan, pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, keselamatan serta kelestarian, selain pembangunan orang muda,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran JETP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.

Katanya, menerusi JETP, Johor menyasarkan untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030.

Selain itu, katanya, mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu termasuk 100,000 pekerjaan berpendapatan premium.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap aspek kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan 70,000 lagi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), dana RM500 juta bagi mobiliti sosial dan pembasmian kemiskinan serta pelbagai inisiatif bantuan kepada golongan memerlukan.

“Apabila ekonomi berkembang, rakyat mesti merasainya. Apabila negeri maju, rakyat mesti menikmatinya.

“Sebab itu, pertumbuhan ekonomi yang dicapai perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan lebih baik, pendapatan lebih tinggi, kemudahan awam yang berkualiti dan kehidupan yang lebih sejahtera untuk Bangsa Johor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast