KUALA LUMPUR – Pencapaian keseluruhan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 mencatat peningkatan apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.88 berbanding 2.85 pada tahun sebelumnya.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pencapaian itu merupakan PNGK tertinggi sejak 2013 dengan peningkatan sebanyak 0.31 mata atau 12.06 peratus berbanding PNGK 2.57 yang direkodkan pada tahun tersebut.
“Sebanyak 1,336 calon atau 3.50 peratus calon telah mendapat PNGK 4.00. Peningkatan seramai 70 calon berbanding tahun 2024,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2025 hari ini.
Beliau berkata, peratusan longgokan calon STPM 2025 pada PNGK 3.75, PNGK 3.00, PNGK 2.75 dan PNGK 2.00 turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Menurut beliau, seramai 40,199 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2025, namun hanya 38,144 calon atau 94.89 peratus hadir bagi menduduki peperiksaan tersebut.
“Bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil telah meningkat daripada 53 calon dalam peperiksaan STPM 2024 kepada 60 calon.
“Manakala, bilangan calon yang mendapat 4A juga telah meningkat daripada 1,228 calon pada tahun 2024 kepada 1,285 calon pada tahun 2025,” katanya.
Md Amin berkata, peratusan calon yang memperoleh lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran turut meningkat daripada 76.55 peratus kepada 77.64 peratus atau melibatkan 29,616 calon pada tahun ini.
“Daripada 38,144 calon yang hadir, sebanyak 99.96 peratus atau 38,128 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.
“Syarat layak untuk mendapatkan Sijil STPM ialah calon mesti memperoleh lulus sebahagian sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran,” katanya.
Beliau berkata, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2025 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus pada gred C dan ke atas.
“Dengan peningkatan PNGK Nasional pada tahun ini, dengan pengiktirafan STPM di peringkat antarabangsa dan kualiti standard STPM, saya menyeru agar lebih ramai lepasan SPM memilih STPM sebagai laluan perdana untuk menyambung pengajian ke peringkat pra universiti,” katanya.
Keputusan peperiksaan STPM 2025 boleh disemak mulai pukul 11.30 pagi hari ini menerusi portal MPM dan sistem pesanan ringkas (SMS). – MalaysiaGazette
















