JOHOR BAHRU – Calon-calon Barisan Nasional (BN) Johor yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini sudah 80 peratus siap disenaraikan.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, namun senarai calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu masih lagi belum dimuktamadkan.
Menteri Besar Johor itu berkata, ketika ini nama-nama tersebut sedang diperhalusi lagi yang melibatkan pelbagai latar belakang dan peringkat umur.
“Pemilihan calon tidak hanya tertumpu kepada faktor umur, sebaliknya berdasarkan kemampuan seseorang untuk berkhidmat kepada rakyat serta diterima pengundi.
“Kita ketengahkan gabungan calon yang boleh menang. Ada calon muda, ada calon lama, ada Melayu, Cina dan India. Itu semangat BN yang akan diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam temuramah bersama-sama media Johor di kediaman rasminya di Saujana, di sini semalam.
Katanya, BN Johor tidak mahu terburu-buru dalam soal pemilihan calon kerana masih ada masa lagi untuk membincangkannya.
“Kita belum finalize, masih bercakap (berbincang) dengan (Presiden MCA), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, (Pengerusi MIC Johor), K Raven; (Timbalan Pengerusi MCA Johor), Ling Tian Soon dan (Setiausaha MCA Johor), Lee Ting Han,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor itu berkata, pemilihan calon BN akan meneruskan tradisi dan semangat gabungan tersebut yang melibatkan pelbagai kaum.
Apabila ditanya peratusan muka baharu dan golongan muda yang tersenarai dalam calon BN Johor, Onn Hafiz enggan mendedahkan nama-nama mereka.
Jelasnya, BN Johor tidak mahu letak keutamaan kepada banyak calon muda sahaja kerana belum tentu diterima rakyat dan boleh berkhidmat dengan baik.
“Dia mesti boleh berkhidmat kepada rakyat. Tak guna ada orang muda yang ada tenaga, tetapi dia tak boleh khidmat. Dia tak boleh service rakyat.
“Sebab pada akhirnya setiap ahli politik, apa niat kita nak jadi wakil rakyat? Niat kita adalah untuk berkhidmat. Niat kita ialah untuk berbakti kepada bangsa,” katanya.
Beliau memberitahu, senarai calon dan manifesto BN akan diumumkan minggu depan. – MalaysiaGazette
















