Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris bercakap ketika sidang media pada Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 18 JUN 2026.

SUBANG – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang meneliti rancangan menggantikan pesawat pengangkut C-130H yang sebahagian daripadanya telah berkhidmat hampir lima dekad.

Panglima Tentera Udara, Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, pesawat berkenaan ada yang sudah berusia antara 31 hingga hampir 50 tahun, dan memerlukan perhatian khususnya dari aspek keupayaan operasi dan penyelenggaraan.

Katanya, walaupun pesawat jenis itu diiktiraf sebagai pengangkutan udara berkesan dan boleh dipercayai, namun faktor usia bakal mengakibatkan kos penyelenggaraan semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Ramai mengakui C-130H merupakan pesawat yang baik. Namun, apabila tiba masanya, penggantian aset perlu dipertimbangkan kerana dalam sesetengah keadaan, menggantikan pesawat lebih berbaloi berbanding terus menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris bergambar bersama anggota TUDM pada Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 18 JUN 2026.

Dalam pada itu, Muhamad Norazlan ketika ditanya mengenai rancangan untuk mendapatkan pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) berkata, setiap aset pertahanan yang diperoleh akan digunakan secara optimum bagi memastikan pulangan terbaik terhadap pelaburan negara, termasuk dari aspek latihan dan operasi.

“Apabila kita membeli pesawat pejuang, kita akan menggunakannya sehingga ke tahap optimum. Latihan juga dilaksanakan secara maksimum kerana dalam situasi konflik, pesawat-pesawat ini akan digunakan sehingga ke had keupayaan yang ditetapkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast