GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kedudukannya di persada global apabila meningkat enam anak tangga ke kedudukan ke-128 dunia dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2027.
Pencapaian itu turut meletakkan USM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia selain mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.
USM dalam kenyataan berkata, bagi edisi QS WUR 2027, sebanyak 8,808 institusi pengajian tinggi di seluruh dunia dinilai berbanding 8,467 institusi pada tahun sebelumnya dan daripada jumlah itu, hanya 1,504 institusi berjaya disenaraikan dalam ranking global.
“Prestasi yang semakin meningkat itu mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, memperluas impak penyelidikan, memacu pengantarabangsaan strategik serta memperkasa agenda kelestarian universiti.
“Antara pencapaian paling menonjol USM ialah indikator Pelajar Antarabangsa apabila universiti itu berada pada kedudukan ke-61 dunia. USM turut mencatat kedudukan ke-100 dunia bagi indikator Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (International Research Network, IRN), sekali gus muncul sebagai universiti terbaik di Malaysia bagi indikator berkenaan.
“Daripada sembilan indikator QS yang dinilai, USM mencatat peningkatan bagi lima indikator utama iaitu Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (IRN), Kelestarian (Sustainability), Nisbah Fakulti-Pelajar (Faculty-Student Ratio), Sitasi per Fakulti (Citations per Faculty) dan Fakulti Antarabangsa (International Faculty),”katanya.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pencapaian itu merupakan hasil komitmen kolektif seluruh warga universiti dalam memperkukuh kecemerlangan institusi di peringkat antarabangsa.
“Peningkatan kedudukan ini mencerminkan usaha berterusan USM dalam memperkasakan kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan jaringan antarabangsa.
“Kejayaan ini adalah hasil dedikasi seluruh warga universiti termasuk staf akademik, penyelidik, pelajar, alumni dan kakitangan sokongan yang sentiasa komited dalam memperkukuh reputasi USM di persada dunia,” katanya.
Tambah beliau, USM akan terus memperkukuh agenda transformasi pendidikan tinggi melalui penyelidikan berimpak tinggi, pengantarabangsaan strategik, pembangunan bakat global serta komitmen yang berterusan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan/Lestari (SDG). – MalaysiaGazette















