Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas termasuk mengharamkan penggunaan vape yang dicampur bahan terlarang susulan kebimbangan terhadap penularan dadah sintetik dalam kalangan pelajar sekolah.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, penggunaan vape yang mengandungi bahan psikoaktif boleh memberi kesan serius terhadap perkembangan mental dan tingkah laku remaja.

Menurut beliau, fenomena itu perlu dipandang serius kerana mampu merosakkan masa depan generasi muda negara.

“Saya risau kerana vape kini digunakan untuk mencampurkan dadah sintetik yang boleh merosakkan pemikiran remaja.

“Jika perkara ini tidak dibendung, kita akan berdepan masalah sosial yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, semalam.

Bekas Ketua Polis Negara merangkap Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan pada Majlis Pelancaran MCCC Selangor di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, malam pada Khamis.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran MCCC Selangor di Tropicana Golf & Country Resort, di sini, malam tadi.

Khamis lepas, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kemunculan dadah sintetik baharu dikenali sebagai “Piu Piu” di pasaran dikesan dicampurkan dalam cecair rokok elektronik membuktikan peranti itu wajar diharamkan.

Ayob berkata, ini kerana dadah mengandungi campuran Fentanyl dan bahan kimia psikoaktif itu boleh memberikan kesan khayal teruk seumpama ‘zombi’ kepada penggunanya.

Menurut Musa, larangan menyeluruh terhadap vape perlu dipertimbangkan bagi melindungi golongan muda daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

“Kita tahu ramai orang menjual vape kerana ekonomi, tetapi kalau dia merosakkan bangsa kita, saya rasa eloklah kita haramkan,” katanya.

Dalam masa sama, Musa menegaskan pendekatan pemulihan dan pendidikan perlu diberikan kepada pelajar yang terlibat berbanding terus menghukum mereka.

“Kita tidak mahu pelajar sekolah terus dihantar ke penjara. Mereka perlu dibimbing dan dipulihkan supaya dapat kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna,” katanya.

Bekas Ketua Polis Negara merangkap Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran MCCC Selangor di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, malam pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Musa selaku presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) sedia menggerakkan kempen kesedaran tentang bahayanya vape dan dadah dalam kalangan pelajar di sekolah.

“Sebelum ini saya kerap dijemput memberikan ceramah dan penerangan di sekolah-sekolah mengenai pelbagai isu yang melibatkan pelajar.

“Namun setakat ini, jumlah program yang dijalankan masih terhad kerana setiap sesi memerlukan kebenaran daripada pihak berkaitan sebelum boleh dilaksanakan di sekolah.

“Bagaimanapun, sudah ada dua atau tiga sekolah yang menjemput kami untuk mengadakan sesi penerangan kepada para pelajar.

“Saya berharap lebih banyak sekolah akan tampil bekerjasama bagi memastikan usaha memberi kesedaran dan pendidikan kepada golongan muda dapat diperkasakan,” katanya.

Selain itu, Musa memberi jaminan MCCC sedia menjadi penghubung antara masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu menyelesaikan pelbagai isu keselamatan serta kebajikan mangsa jenayah.

“Kita telah mewujudkan kerjasama erat dengan pihak polis dan masyarakat sejak sekian lama.

“Kita berharap dapat membantu lebih ramai rakyat, bukan sahaja di Selangor bahkan melalui rangkaian yang telah diwujudkan di Pahang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast