Poster berkenaan perkhidmatan Shuttle Selatan.

JOHOR BAHRU – Kadar tambang perkhidmatan Shuttle Selatan wajar diteliti semula supaya dapat membantu rakyat dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani berkata, ini kerana kadar tambang yang dikenakan tidak selari dengan hasrat asal membantu rakyat.

“Jika kos menggunakan pengangkutan awam hampir menyamai atau lebih tinggi daripada kos berkenderaan sendiri, matlamat untuk mengurangkan kesesakan jalan raya akan menjadi lebih sukar dicapai.

“Adalah lebih baik jika sesuatu perkara yang baik itu benar-benar mampu dinikmati oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengakui Shuttle Selatan merupakan inisiatif yang wajar dipuji kerana membantu memperkukuh sistem pengangkutan awam Johor, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menyediakan pilihan mobiliti yang lebih baik kepada rakyat.

“Namun, sesuatu yang baik akan menjadi lebih baik apabila ia benar-benar mampu dinikmati oleh rakyat.

“Persoalannya bukan tentang kewujudan perkhidmatan ini. Persoalannya ialah sama ada kadar tambang yang dikenakan benar-benar menggalakkan rakyat meninggalkan kenderaan persendirian dan beralih kepada pengangkutan awam,” katanya.

Ramlee mengambil contoh perjalanan Kulai ke Johor Bahru (JB) Sentral menggunakan Shuttle Selatan yang sejauh kira-kira 32 kilometer (km) dan dikenakan tambang RM10.20.

Katanya, sebagai perbandingan, perjalanan Kuala Lumpur (KL) Sentral ke Rawang yang hampir sama jaraknya pula hanya RM4.40.

“Bagi laluan yang lebih jauh, Kulai ke Pasir Gudang sejauh 48 km dikenakan tambang RM16.40, sedangkan perjalanan KL Sentral ke Batang Kali yang mempunyai jarak hampir sama hanya RM6.40,” katanya.

Ramlee percaya Kementerian Pengangkutan dan KTM Berhad (KTMB) mempunyai niat yang baik melalui pelaksanaan Shuttle Selatan itu, namun berpendapat bahawa kemudahan yang baik bukan sekadar dibina, tetapi apabila rakyat mampu menggunakannya setiap hari.

“Kejayaan pengangkutan awam bukan diukur pada jumlah tren yang bergerak, tetapi pada jumlah rakyat yang mampu menaikinya,” katanya.

Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook merasmikan Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai.

Shuttle Selatan membabitkan dua laluan dari Kulai ke JB dan Kempas Baru ke Pasir Gudang bagi fasa pertama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast