MARAN – Gara-gara tidak lepas memotong sebuah motosikal, dua adik perempuan dalam kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan di Kilometer 24, Jalan Temerloh–Bandar Jengka di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, dan adiknya Dinie Nasuha Noor Azlan Efenddy, 19.
Ketua Polis Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kedua-dua mangsa maut di lokasi nahas akibat kecederaan parah menaiki Toyota Unser dipercayai dalam perjalanan dari Kampung Sungai Gau Temerloh.
“Kemalangan membabitkan sebuah Toyota Unser dan sebuah Perodua Axia itu berlaku apabila MPV berkenaan dipercayai cuba memotong sebuah motosikal sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kemudian ia bertembung secara depan dengan depan dengan kereta yang datang dari arah Bandar Jengka menuju ke Temerloh,” katanya.
Menurutnya, impak perlanggaran yang kuat menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk manakala semua mangsa terperangkap di dalam kenderaan masing-masing.
“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran yang bergegas ke lokasi berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit, namun kedua-dua beradik terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan,” katanya.
Manakala seorang lagi mangsa yang merupakan pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh untuk menerima rawatan.
Jelas Kim Wai, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Unser tersebut dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika cuba memotong sebuah motosikal sebelum bertembung dengan Perodua Axia.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang MPV berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Axia mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sehingga kini tiada saksi tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Maran, Inspektor Muhaimin Omar di talian 017-9436741 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















