KUALA LUMPUR – Paras air Sungai Klang di Jambatan Tun Perak dilaporkan telah melepasi tahap amaran apabila mencatat bacaan 28.96 meter (m), iaitu 0.01m melebihi paras amaran 28.95m setakat pukul 7.15 malam ini.
Pada masa sama, beberapa kawasan di ibu negara turut merekodkan hujan lebat, termasuk di Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Ampang dengan bacaan 50 milimeter (mm) dan Kolam Takungan Batu sebanyak 33mm, sekaligus meningkatkan risiko kenaikan paras sungai serta kejadian banjir kilat.
Menurut laporan notifikasi aras air dan hujan terkini JPS Malaysia, bacaan paras air di Sungai Klang di Jambatan Tun Perak menunjukkan trend menaik.
Selain itu, Sungai Klang di Lembah Keramat (F2) turut melepasi tahap waspada apabila mencatat bacaan 46.12m, iaitu 0.95m melebihi paras waspada 45.17m, manakala Sungai Klang di Jambatan Sulaiman (F2) merekodkan bacaan 26.51m melebihi tahap waspada 26m sebanyak 0.51m.
Kedua-dua stesen turut menunjukkan trend peningkatan paras air.
Bagaimanapun, paras air di Sungai Gombak di Gombak Barrage kekal pada tahap normal dengan bacaan 47.5m walaupun menunjukkan trend menaik, manakala Sungai Bunus di Jalan Tun Razak turut berada pada paras normal dengan bacaan 33.29m.
Dari segi taburan hujan, stesen JPS Ampang merekodkan hujan lebat tertinggi sebanyak 50mm pada pukul 7.15 malam, diikuti Kolam Takungan Batu dengan 33mm pada pukul 7 malam.
Beberapa kawasan lain pula mencatat hujan pada tahap sederhana, antaranya Sungai Bunus di Jalan Tun Razak (27mm), Sungai Klang di Lembah Keramat (24mm), Lembah Jaya (22.5mm), Sri Rampai (17mm), Pandan Indah (13.5mm) dan Gombak Barrage (12mm).
Orang ramai terutama penduduk di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mengikuti perkembangan semasa yang dikeluarkan pihak berkuasa berikutan trend peningkatan paras air di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
















