JOHOR BAHRU – Perkhidmatan Shuttle Selatan di sini akan menggunakan set tren diesel sedia ada sebagai penyelesaian interim sementara menunggu projek landasan berkembar elektrik Gemas–Johor Bahru (JB) siap sepenuhnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, apabila projek landasan berkembar berkenaan siap kelak, perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan mengambil alih laluan itu sepenuhnya, sekali gus menyaksikan tren diesel sedia ada tidak lagi diperlukan di sana.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum ini berdepan dua pilihan sama ada mahu menunggu tempoh dua hingga tiga tahun sehingga 10 set tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) baharu siap dibina, atau menggunakan aset sedia ada dengan kadar segera.
“MOT membuat pertimbangan yang profesional dan memilih pilihan kedua. Tren EMU baharu akan tiba pada masanya, tetapi selagi rakyat boleh gunakan perkhidmatan ini sekarang, tidak ada sebab untuk kita menunggu.
“Hasilnya, penduduk di sekitar laluan Shuttle Selatan kini mempunyai mod pengangkutan alternatif dari Kulai ke JB Sentral dengan masa perjalanan dianggarkan sekitar 30 hingga 40 minit sahaja,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, inisiatif berkenaan turut menyaksikan Laluan Kempas Baru–Pasir Gudang yang selama ini hanya dikhaskan untuk urusan kargo, kini dibuka untuk perkhidmatan penumpang buat pertama kalinya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Shuttle Selatan kekal sebagai perkhidmatan bersubsidi demi memastikan tambang yang dikenakan tidak membebankan pengguna.
“Kerajaan menyediakan peruntukan subsidi antara RM11 juta hingga RM15 juta setahun untuk mengendalikan perkhidmatan ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















