KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengkaji semula kadar baharu caj pengurusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) yang didakwa membebankan rakyat.
Naib Pengerusinya, Ahmad Asri Talib berkata, kenaikan kadar caj yang berkuat kuasa mulai 15 Mei lalu itu disifatkan terlalu tinggi dan tidak selari dengan kemampuan majoriti penduduk Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, kadar pengurusan pengebumian bagi jenazah dewasa warganegara anak kariah dilaporkan meningkat dari RM300 kepada RM800, manakala bagi luar kariah meningkat sehingga RM1,600.
“Kenaikan mendadak ini amat membebankan rakyat terutama golongan B40, asnaf dan miskin bandar yang sememangnya berdepan tekanan kos sara hidup.
“Belum lagi diambil kira kos tambahan seperti pengurusan memandikan jenazah dan perkhidmatan kereta jenazah yang turut perlu ditanggung waris,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut merujuk kepada kebimbangan yang disuarakan Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Jalan Hang Tuah, Ismail Abdullah yang menyifatkan situasi tersebut sebagai “mahu hidup susah, mahu mati pun susah”.
“TPIRS sepatutnya berfungsi sebagai kemudahan sosial dan keagamaan awam memberi perkhidmatan kepada masyarakat, bukannya dilihat sebagai entiti yang mengenakan kadar caj sehingga membebankan rakyat,” katanya.
Beliau juga melahirkan kebimbangan kadar baharu itu akan memberi kesan kepada tabung dan institusi khairat kematian di kawasan-kawasan perumahan yang selama ini membantu meringankan beban waris.
“Jika kadar tinggi ini dikekalkan, banyak khairat kematian berisiko mengalami penyusutan dana dan akhirnya terpaksa menaikkan yuran tahunan ahli.
“Keadaan ini sudah tentu akan menambah beban kepada masyarakat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan MAIWP yang mengurus kutipan zakat dalam jumlah besar setiap tahun seharusnya memainkan peranan lebih aktif dalam membantu meringankan kos pengurusan kematian umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, konsep Rahmatan Lil Alamin dan aspirasi Kerajaan Madani sewajarnya diterjemahkan melalui pendekatan lebih prihatin dalam urusan pengurusan jenazah.
“Mati itu pasti, tetapi membantu dan memudahkan urusan kematian adalah tanggungjawab fardu kifayah yang perlu dipermudahkan.
“Kita mahu melihat wujudnya kos pengurusan kematian yang lebih rahmah dan mampu ditanggung rakyat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















