KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tidak akan menghakis sebarang hak istimewa Sabah dan Sarawak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan pindaan terhadap beberapa peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya perlu bagi memperkukuh pelaksanaan AKPS.
“Yang penting, jaminan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak-hak Sabah dan Sarawak tetap terpelihara. Kita tidak akan mencerobohi bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna – Warisan) di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Mohd Shafie meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini operasi AKPS di Sabah dan Sarawak.
Saifuddin berkata, sebelum AKPS diluluskan dan mula beroperasi pada 1 Januari 2025, kerajaan telah mengadakan sesi libat urus khusus bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
“Tiga jaminan utama diberikan iaitu AKPS tidak menghakis kuasa negeri, tidak melibatkan sumber manusia kerajaan negeri serta tidak mengambil hasil yang menjadi hak negeri di pintu masuk sempadan,” katanya.
Menurut Saifuddin, Sabah kini sedang mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan termasuk melibatkan beberapa pintu masuk kekal di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Undang-undang adalah dinamik. Jika terdapat keperluan untuk menambah baik atau meminda peruntukan tertentu selepas menerima maklum balas pihak berkepentingan, kita bersedia melakukannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















