KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal memperkukuh penggunaan lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dalam bentuk digital menerusi Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pindaan itu membolehkan dokumen JPJ dikeluarkan dalam apa-apa bentuk termasuk digital selain memperluaskan penggunaan mesej elektronik dalam urusan rasmi.
“Melalui pindaan seksyen 20, pengguna tidak lagi diwajibkan memperagakan LKM seperti sebelum ini. Sebaliknya pengguna hanya perlu mengemukakan maklumat lesen apabila diminta pihak berkuasa,” katanya ketika membentangkan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, kata Anthony, laporan kemalangan jalan raya pada masa hadapan juga boleh dibuat secara elektronik tanpa perlu hadir ke balai polis bagi kes-kes tertentu.
“Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada transformasi digital JPJ yang dijangka memudahkan jutaan pengguna jalan raya di seluruh negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















