Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersedia menambah peruntukan kepada kesatuan sekerja pada masa depan sekiranya dana RM2.8 juta yang disalurkan tahun ini digunakan sepenuhnya serta diuruskan dengan tadbir urus yang baik, kata Menterinya, Datuk Seri R. Ramanan.

Menurut beliau, peningkatan peruntukan yang diberikan tahun ini dibuat berdasarkan keperluan semasa dan kerajaan melihat terdapat keperluan untuk terus memperkukuhkan peranan serta produktiviti kesatuan sekerja di negara ini.

“Kalau tahun depan RM2.8 juta ini telah digunakan sepenuhnya, mereka menghantar laporan dan ia digunakan dengan betul, tadbir urusnya baik dan tatakelolanya baik, memang kita akan tambah, sebab kita lihat ada keperluan untuk dana tersebut,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Tahun 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, timbalannya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media mengenai jumlah peruntukan yang disalurkan kepada kesatuan sekerja pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai kadar penyertaan pekerja dalam kesatuan sekerja yang masih sekitar enam peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara, Ramanan berkata, usaha meningkatkan keahlian perlu digerakkan oleh kesatuan sekerja sendiri dengan melibatkan lebih ramai pekerja dalam pelbagai aktiviti dan program yang dianjurkan.

Katanya, kesatuan sekerja perlu memberi lebih banyak peluang kepada ahli untuk menyertai program, promosi serta pendedahan yang lebih meluas termasuk di peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh beliau berkata, penyertaan wakil Malaysia dalam Persidangan Buruh Antarabangsa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) baru-baru ini masih rendah dan peluang seperti itu perlu dimanfaatkan bagi menarik minat lebih ramai pekerja menyertai kesatuan.

“Kalau mereka ada peluang untuk pergi ke persidangan-persidangan antarabangsa seperti ini, mungkin penyertaan mereka dalam kesatuan-kesatuan tersebut boleh kita besarkan sedikit,” katanya.

Dalam pada itu, Ramanan menegaskan masyarakat tidak seharusnya melihat kesatuan sekerja sebagai platform yang hanya dicari ketika berdepan masalah pekerjaan semata-mata.

Sebaliknya beliau menegaskan, kesatuan sekerja berperanan sebagai wadah penyatuan dan pembangunan pekerja untuk jangka panjang, selaras dengan maksud sebenar ‘union’ yang membawa pengertian penyatuan dan kebersamaan.

“Saya dengan Timbalan Menteri (Khairul Firdaus) tidak fikir untuk tidak memberi atau menggunakan duit ini untuk kegunaan lain. Niat kita satu sahaja, kita mahu mengembangkan produktiviti kesatuan sekerja dan penglibatan pekerja-pekerja lain dalam kesatuan sekerja,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast