Pengerusi Badan Perhubungan BN Johor yang juga calon N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi bergambar bersama barisan calon selepas Majlis Pengumuman Calon BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan membentuk kerajaan gabungan dengan mana-mana parti politik lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, walau apapun jalan yang bakal dirempuh, pendirian tersebut akan kekal dan tidak berganjak.

“Sekiranya diizinkan Allah rakyat terus memberikan kepercayaan penuh kepada BN Johor untuk terus menerajui negeri kita, BN Johor tidak akan membentuk kerajaan gabungan dengan mana-mana parti politik yang lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Calon BN Sempena Pilihan PRN Johor di Ibu Pejabat UMNO Johor di sini hari ini.

Menteri Besar Johor itu berkata, BN akan terus berkerja bagi menjayakan agenda Maju Johor 2030 sehingga ke garisan penamatnya’.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejak diumumkan BN bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 Mei lalu disusuli pembubaran DUN pada 1 Jun lalu, BN berdepan pelbagai serangan dan tekanan.

Katanya, pelbagai fitnah serta tuduhan dilemparkan terhadap BN Johor yang menyatakan pendirian tersebut dan mahu memperbaharui mandat Johor.

“Keengganan untuk kita bekerjasama dengan mana-mana parti seperti DAP, kita dituduh sombong, angkuh, malah rasis, hanya kerana pendirian politik kita berbeza.

“Politik dimonisasi ataupun demonisation, mula memasuki negeri ini. BN terus diburuk-burukkan dan digambarkan seolah-olah menjadi musuh atau punca segala masalah,” katanya.

Menurutnya, BN dihujani fitnah yang sebelum ini tidak pernah didengar pun sambil mengingatkan bahawa BN adalah sebuah gabungan yang mewakili semua sama ada Melayu, Cina, India, bumiputera dan pelbagai kaum.

“Ia bukan perkara yang baru. Tidak bekerjasama dengan DAP, bukan bermaksud kita menolak mana-mana kaum kerana mereka hanyalah sebuah parti politik. Menolak kerjasama dengan mereka adalah kerana perbezaan ideologi.

“Sekali lagi, bukan kerana kaum. Oleh itu, bagi menekankan pendirian dan iktikad yang telah kita putuskan bersama, walau apa pun jalan yang kita bakal tempuhi nanti, pendirian ini kekal dan tidak berubah. Genggam bara api biar sampai jadi arang,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast