Logo Polis Diraja Malaysia

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang bekerja di sebuah kilang automotif maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di Persiaran Selangor berhampiran pejabat Karangkraf, Seksyen 15 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, mangsa merupakan lelaki Melayu berusia lingkungan 40-an yang bekerja di Toyota Bukit Raja, Klang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Seksyen 25, Shah Alam selepas tamat bekerja apabila kemalangan itu berlaku kira-kira 5.40 pagi pada Selasa.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan dan jatuh ke dalam longkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa bersama motosikalnya ditemui pada malam hari yang sama kira-kira 11.40 malam,” jelasnya.

Menurut Sarudin, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Shah Alam pada jam 9 pagi hari ini mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian dada disebabkan kemalangan kenderaan bermotor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.

Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast