KUANTAN – Dewan Pemuda Pas Pahang mempersoal status sebenar Projek Kuantan Skytrain yang sebelum ini diuar-uarkan sebagai projek berimpak tinggi dan pemangkin pembangunan bandar Kuantan, namun sehingga kini didakwa tidak menunjukkan sebarang perkembangan di tapak.
Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, ketiadaan kemajuan fizikal serta penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri menimbulkan tanda tanya mengenai hala tuju sebenar projek berkenaan.
Katanya, projek itu sebelum ini dipromosikan secara besar-besaran menerusi pelancaran dan persembahan grafik, namun didakwa hilang daripada perhatian selepas pilihan raya.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan besar sama ada Skytrain Kuantan hanyalah janji politik bermusim dan bukan perancangan pembangunan yang benar-benar serius,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Azlan menegaskan bahawa memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai tidak boleh dijadikan bukti bahawa projek itu sedang dilaksanakan sekiranya tiada tindakan sebenar di lapangan.
Katanya, projek bernilai berbilion ringgit itu tidak seharusnya dibiarkan tanpa laporan kemajuan berkala dan rakyat berhak mengetahui sama ada ia diteruskan, ditangguh atau telah dibatalkan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan kerajaan negeri tampil memberikan penjelasan rasmi dan terkini mengenai status Projek Kuantan Skytrain.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga perlu mendedahkan garis masa pelaksanaan, kos sebenar serta sumber pembiayaan projek berkenaan.
“Pahang tidak memerlukan janji kosong. Rakyat tidak boleh terus disogok dengan pelan dan poster semata-mata.
“Jika benar ikhlas membangunkan Pahang, buktikan dengan tindakan dan bukan sekadar pengumuman bermusim,” katanya. – MalaysiaGazette
















