Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bercakap kepada media mengenai kejayaan pihak polis membanteras tiga sindiket dadah berasingan dan merasmpas bunga ganja bernilai RM13.73 Juta ketika di IPK Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 JUN 2026.

SHAH ALAM – Polis merampas beberapa barang kes termasuk senjata dipercayai digunakan dalam pembunuhan seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, rampasan tersebut merupakan perkembangan penting dalam usaha pihak berkuasa merungkai kronologi kejadian.

“Setakat ini pihak polis telah berjaya membuat beberapa rampasan dan kita percaya melibatkan senjata yang digunakan untuk melakukan perbuatan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditemui maut disyaki dibunuh di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada Selasa lalu.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia 20-an dipercayai telah meninggal dunia dan terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh badannya.

Dalam perkembangan sama, Shazeli enggan mendedahkan jenis senjata yang dirampas pihaknya kerana siasatan masih berjalan.

“Penemuan senjata dalam kes bunuh ini akan dianalisis secara terperinci oleh pasukan forensik bagi mengesahkan kaitannya dengan kejadian,” jelasnya.

Selain itu, katanya, beberapa sampel dan bahan bukti lain turut dihantar untuk pemeriksaan lanjut bagi mengukuhkan kertas siasatan.

“Polis sedang melengkapkan semua aspek siasatan sebelum hasilnya diserahkan semula kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

“Masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan dan diperjelaskan lagi sebelum siasatan disempurnakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Motif peribadi, kewangan jadi fokus siasatan kes bunuh penuntut IPT – Shazeli

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast