Calon BN N.04 Kemelah, Raven Kumar selepas Majlis Pengumuman Calon BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Joho ke-16 di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Seorang Exco Kerajaan Johor digugurkan daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail@ Md On yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom tidak diumumkan sebagai calon pada PRN Johor kali ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Majlis Pengumuman Calon BN PRN Johor di sini hari ini, mengumumkan calon muka baharu dan muda, Nadhirah Afiqah Abdull Rahim bagi kerusi DUN Serom.

Daripada 11 barisan Exco Kerajaan Negeri termasuk Onn Hafiz itu, turut diumumkan seorang daripada mereka berpindah kerusi DUN iaitu bekas Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar.

Raven Kumar yang merupakan penyandang kerusi DUN Tenggaroh bakal bertanding di kerusi DUN Kemelah bagi PRN Johor Ke-16, manakala kerusi disandang Raven Kumar itu digantikan dengan Mohd Youzaimi Yusof yang pada PRN Johor 2022 bertanding di kerusi DUN Endau.

Sembilan lagi Exco Kerajaan Negeri termasuk Onn Hafiz kekal bertanding di kerusi DUN masing-masing.

Onn Hafiz mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi DUN Machap; bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap) dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir).

Selain itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid kekal bertanding di kerusi DUN Semerah; bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon (Yong Peng) dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han turut bertanding di kerusi DUN yang disandang iaitu Paloh.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin bakal mempertahankan kerusi DUN Tanjung Surat; bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor pula kekal bertanding di kerusi DUN Bukit Permai dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah (Larkin).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast